Bahasa Melayu telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan Negara ini. Semenjak merdeka, pelbagai program telah dijalankan oleh kerajaan, pejuang dan pencinta Bahasa Melayu bagi memperkasa dan memperluas penggunaan Bahasa Melayu di Malaysia Khususnya dan dunia amnya.
Tetapi, dek campurtangan orang politik dan ekonomi yang mempunyai agenda tersendiri, penggunaan Bahasa Melayu menjadi merosot. Keadaan ini membimbangkan pejuang-pejuang bahasa, tambahan pula pihak kerajaan pada zaman pimpinan Tun Dr. Mahathir melaksanakan sistem Pelajara dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Dasar Tun Dr. Mahathir dahulu di akui berkesan oleh golongan bandar tetapi menjadi satu bebanan bagi pelajar luar bandar. Justeru itu, ramai yang membantah dasar tersebut. Sistem yang sempat berjalan lebih kurang 8 tahun itu menelan dana kerajaan yang begitu besar untuk persiapan PPSMI bagi membekal peralatan P&P seperti laptop, projector dan speaker.
Setelah Tun Dr. Mahathir berundur, sistem tersebut telah dihentikan oleh Tan Sri Muhyidin Yasin dan memperkenalkan pula dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Ia adalah strategi serampang 2 mata bagi memartabatkan Bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan dan dalam masa yang sama memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah di Malaysia dengan memperuntukkan lebih masa untuk pengajaran subjek BI dan mengimport guru BI dari luar Negara.
Selepas dasar ini di umukan, ada golongan yang cuba menentang dan meminta mereka diberi pilihan untuk memilih bahasa pengantar sendiri. Golongan ini cuba menjadi jaguh dan mengeruhkan keadaan tentang dasar penggunaan Bahasa Melayu serta menentang apa yang telah diputuskan oleh Menteri Pelajaran. Di pihak pejuang Bahasa Melayu, kami berasa lega sedikit dengan perkembangan terkini dan pendirian Menteri Pelajaran yang tekad untuk tidak berganjak dengan keputusan dasar MBMMBI.
Tetapi, apa yang di bimbangi ialah dasar ini akan berubah lagi, apabila bertukar Menteri Pelajaran disebabkan oleh politik sempit pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh dan tekanan yang dikenakan. Pihak pejuang Bahasa Meleyu haruslah bersatu hati dan merapatkan ukhuwah antara ahli pejuang Bahasa supaya mereka boleh menjadi benteng bagi mempertahankan Bahasa Kebangsaan dan Perlembagaan Malaysia selama-lamanya.
Sebagai orang Melayu dan Rakyat yang cintakan keamanan dan kemakmuran Negara ini, saya menyokong penuh dasar yang memartabatkan Bahasa Melayu yang juga Bahasa Kebangsaan Negara ini diperjuangkan sehingga kedudukan yang sepatutnya seperti dilaksanakan oleh Indonesia.
No comments:
Post a Comment