Ditulis oleh;
.
-->
TQVM FOR CLICK

Wednesday, October 19, 2011

Permohonan Kemasukan Ke Kolej Vokasional, SMT dan SMV

Permohonan untuk kemasukan ke sekolah menengah teknik, sekolah menengah vokasional dan Kolej Vokasional telah dibuka. Borang permohonan hendaklah di isi dan dihantar ke:


Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional
Kementerian Pelajaran Malaysia
Aras 5 & 6, Blok E14 Kompleks E
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62604 Putrajaya


03-88845154

atau di hantar terus ke sekolah tempat pilihan pertama.

Download borang permohonan DI SINI.

Wajarkah 1.3 juta pati diberi pekerjaan?


Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengumumkan untuk menempatkan 1.3 juta pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berdaftar dengan kementerian tersebut dalam Program 6P yang lepas. PATI yang berdaftar tersebut yang rata-ratanya berasal dari Indon akan diserapkan ke sektor-sektor perladangan, pembinaan dan perindustrian. Apa yang ingin diutarakan di sini, wajarkah mereka diberi pekerjaan?

Pada pendapat saya, perkara tersebut perlu diperhalusi semula oleh menteri di KDN. Mereka dah la masuk secara haram ke Malaysia. Jumlah mereka pula terlalu ramai. Ini menunjukkan kelemahan Malaysia dari segi penguatkuasaan untuk menyekat kemasukan pendatang asing secara haram ini. Dengan jumlah tersebut juga boleh menutup peluang pekerjaan untuk rakyat kita sendiri yang tidak mempunyai kelayakan mencukupi untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.

Tindakan KDN yang memberi pekerjaan  kepada PATI yang berdaftar tersebut boleh dianggap merestui tindakan PATI yang yang masuk secara haram. Mereka yang sepatutynya diberi hukuman kerana menceroboh Negara kita secara haram tetapi sebaliknya diberi layanan istimewa dan diberi pekerjaan tanpa sebarang tindakan diambil. Ini akan memberi kesan kepada PATI lain yang hanya menunggu masa untuk masuk ke Negara yang bertuah ini.

Penerimaan PATI juga memberi kesan kepada populasi penduduk di Negara ini. Dari segi keselamatan pula, wujudnya rasa takut rakyat tempatan bila berdepan dengan rakyat asing yang terlampau ramai contohnya boleh dilihat di bandar-bandar besar setiap hari ahad. Tempat yang biasa menjadi tumpuan mereka ialah di depan Mydin Kota Raya dan sekitar Pudu Sentral. 

Monday, October 10, 2011

Di manakah agenda kebangsaan?


Resolusi perhimpunan MCA minggu lepas terus mendesak kerajaan mengarusperdanakan pendidikan vernakular setanding pendidikan kebangsaan. Antara desakan mereka, kerajaan mesti membantu pembangunan lebih 78 peratus sekolah Cina sedia ada melalui peruntukan khas.

Lembaga pentadbir sekolah Cina mesti dirujuk, terutama berkaitan penempatan guru besar (pengetua), penolong kanan dan guru bahasa Melayu. Mereka mesti berlatar belakangkan Cina dan boleh berbahasa Cina dengan baik. Masa pembelajaran dan pengajaran bahasa Cina mesti dikekalkan minimum lima period seminggu. Tiap-tiap tahun inilah desakan mereka.

Soal untuk memandaikan anak Cina yang lemah dalam komunikasi dan gagal dalam penulisan bahasa kebangsaan langsung tidak disentuh. Penting bagi mereka, anak Cina mesti pandai dalam bahasa Cina. Sekolah Cina mesti mendapat bantuan lebih dari sebelumnya, penguasaan bahasa Cina mesti diutamakan.

Sebelum ini Perdana Menteri bermurah hati bersetuju menyalurkan kutipan cukai arak dan judi kepada sekolah Cina. Mengecualikan cukai terhadap mereka yang memberi sumbangan kepada tabung pembangunan sekolah Cina dan banyak lagi. Pendek kata, sekolah Cina hari ini mendapat perhatian begitu tinggi daripada pelbagai pihak. Kerajaan terpaksa tunduk demi mendapatkan undi. Undi pun belum tentu diberikan kerana undi adalah rahsia. Buatlah perbandingan antara sekolah kerajaan dengan sekolah vernakular. Mana lebih baik. Kalau tidak percaya pergilah ke salah sebuah sekolah di kampung saya, SK Sungai Ranggam, Kota Setia, Teluk Intan, lihatlah betapa daifnya sekolah ini. Guru besar sekolah tersebut meminta saya memberitahu kementerian supaya membantu sekolah itu. Terfikir juga saya, apa yang dibuat oleh wakil rakyat di sana.

Saya memohon dan menasihatkan kerajaan, jika mahu terus mengarusperdanakan sekolah vernakular setanding sekolah kebangsaan, beberapa perkara berikut perlu diberikan perhatian.
Pertama, kerajaan tidak perlu tunduk pada desakan atau keputusan lembaga pentadbir sekolah Cina. Kedua, pentadbiran sekolah Cina hendaklah ditentukan pihak kerajaan, bukannya pentadbir sekolah Cina. Ketiga, sebahagian besar tanah sekolah Cina hendaklah diserahkan kepada kerajaan. Keempat, bahasa Melayu hendaklah diajar melebihi period minimum bahasa Cina. Jika mereka tidak mahu melakukannya, adalah tidak wajar kerajaan tunduk kepada desakan untuk menyamakan taraf sekolah vernakular dengan sekolah kebangsaan.

Kita amat serius dengan bahasa ibunda, tetapi tidak kepada agenda negara. Saya tidak nafikan ramai juga orang Melayu menghantar anak-anak ke sekolah vernakular. Tetapi situasinya berbeza. Melayu dapat menguasai bahasa dan budaya Cina. Manakala Cina tetap dengan kecinaannya (keindiaan).

Inilah dilema pendidikan negara yang kita hadapi sekian lama. Tidak salah memandaikan anak kita dengan bahasa ibunda. Tetapi apakah langkah yang dibuat untuk memandaikan anak kita dengan bahasa negara? Pihak ultra kiasu terus mendakwa sekolah vernakular adalah satu kekuatan. Tetapi pernahkah kajian dibuat untuk melihat kesan sekolah vernakular ke atas pembangunan negara bangsa dan integrasi nasional.

Selaku ahli akademik, saya pernah memohon grant untuk melakukan kajian seperti ini tetapi ditolak mentah-mentah atas alasan sensitif. Jawatan kuasa penilai terdiri kalangan bebal dan pandir. Saya amat hairan, perkara sebesar ini melibat masa depan negara dikatakan tidak penting. Saya memohon kepada kerajaan supaya memberikan kami grant untuk membuat kajian ini secara menyeluruh.

Sepatutnya orang Cina berlapang dada menerima pandangan pihak berautoriti bukannya defensif. Kita harus berasa bertuah kerana dapat mengekalkan pendidikan ibunda di sini. Di negara lain, seperti Indonesia dan Thailand, bukan sahaja pendidikan vernakular diharamkan, hubungan dengan negara asal diputuskan sama sekali. Kelonggaran hanya diberikan pada tahun-tahun 1990an. Tidak seperti kita, tidak pernah melarang sama sekali.

Rakyat Malaysia sepatutnya fasih berbahasa kebangsaan. Tidak timbul soal ada yang langsung tidak dapat bertutur dan memahami bangsa kebangsaan. Ingatlah, titik permulaan dalam pembentukan Bangsa Malaysia tersebut terletak pada sistem pembelajaran negara kita. Janganlah kerana mahukan undi kita terpaksa melukut di tepi gantang. Akhirnya nanti, siapakah yang akan menerima akibatnya?

oleh PROF. DR. RIDHUAN TEE ABDULLAH
10/10/2011 7:58:50 AM 

Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA)


Kira-kira 1.2 juta penjawat awam bakal menerima kenaikan gaji antara tujuh hingga 13 peratus mulai tahun depan apabila perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2012 di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bersetuju meningkatkan kadar kenaikan gaji tahunan penjawat awam antara RM80 sehingga RM320 setahun mengikut gred ekoran ia tidak pernah disemak sejak 1991.
Bagi pesara pula, beliau berkata, lebih 600,000 pesara kerajaan akan menikmati pelarasan pencen melibatkan peruntukan RM600 juta dan mulai tahun 2013 kerajaan akan melaksanakan kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus setahun tanpa perlu menunggu sebarang semakan sistem saraan atau pelarasan gaji.
Di dalam bajet kali ini, Najib turut mengumumkan had umur baru bagi persaraan wajib iaitu daripada 58 tahun kepada 60 tahun bagi mengoptimumkan sumbangan pegawai perkhidmatan awam.
"Pelanjutan ini tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan kepada generasi muda kerana sektor awam dan swasta akan terus mewujudkan peluang pekerjaan baru," ujar Perdana Menteri.
Selain itu, Najib juga mengumumkan bayaran bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 kepada kakitangan awam yang akan dibayar pada bulan Disember ini selain bayaran khas RM500 kepada semua pesara kerajaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, penyelarasan gaji serta kenaikan kadar kenaikan gaji tahunan itu merupakan salah satu daripada empat elemen Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang mula diperkenalkan dalam bajet tahun ini.
"SBPA merupakan satu sistem saraan baru yang akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dan ia digubal dengan bermatlamat mentransformasi Perkhidmatan Awam Malaysia supaya ia menjadi organisasi yang lebih dinamik, responsif dan berorientasikan prestasi," ujarnya.
Menghuraikan lebih lanjut tiga elemen lagi di dalam SBPA, Perdana Menteri berkata, kenaikan gred berdasarkan time-based (tempoh perkhidmatan) bagi guru akan dikurangkan daripada tahun ke-10 kepada tahun kelapan perkhidmatan.
Beliau berkata, ini bermakna seorang guru akan berada pada gred 44 pada tahun kelapan dan gred 48 pada tahun ke-16.
"Jika mengikut time-based sekarang ia memakan masa 10 tahun tetapi di bawah SBPA ia hanya mengambil tempoh lapan tahun sahaja," katanya lagi.
Satu lagi elemen yang terdapat di dalam SBPA, beliau berkata, gaji maksimum dalam gred ditingkatkan lebih 30 peratus.
"Sebagai contoh di dalam SSM bagi seorang guru gred DG48 gaji maksimumnya adalah RM6,325.39 tetapi di dalam SPBA gaji maksimum akan meningkat 37.7 peratus. Dengan pertambahan itu jumlah gaji maksimum yang baru ialah RM8,710," ujarnya.
Ujar Najib elemen terakhir di dalam SBPA ialah wujudnya dasar pemisah atau 'exit policy' bagi penjawat awam yang berprestasi rendah dan bagi mereka yang memilih untuk meninggalkan perkhidmatan.

Sejuta perangi murtad

S/H: Umat Islam seluruh negara dijemput hadir Perhimpunan Sejuta Umat 22 Oktober ini

Penyiasatan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di semua premis di Petaling Jaya yang didakwa wujudnya penyebaran ajaran Kristian kepada Melayu khususnya beragama Islam, mengejutkan ramai pihak. Kontroversi itu mencetuskan pelbagai reaksi namun tumpuan utama perlu terarah kepada komitmen dan ketegasan semua pihak untuk mengatasi masalah akidah di kalangan umat Islam. Kontroversi sama juga mengundang kesedaran lebih jitu hingga terbentuknya Sekretariat Sejuta Umat, gabungan puluhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam yang peka dengan situasi semasa menghimpit umat Islam.

Isu murtad bukan perkara main-main dan menyedari akan perlu ada usaha serius menanganinya, mereka bangkit menganjurkan program Himpunan Sejuta Umat dijadualkan 22 Oktober ini. Kepada wartawan Sinar Harian, NORSHAHZURA MAT ZUKI, Pengerusi Bersama Himpunan Sejuta Umat, Dr Yusri Mohamad menjelaskan misi dan visi sebenar perhimpunan yang bakal menghimpunkan umat Islam seluruh negara.


Apa Himpunan Sejuta Umat Islam sebenarnya? Bagaimana inisiatif ini timbul?

Dr Yusri: Perjumpaan sejuta umat Islam adalah satu inisiatif hasil cetusan idea pelbagai pihak Islam melibatkan pertubuhan Islam, individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin terhadap isu akidah iaitu memurtadkan umat Islam.

Ia merupakan satu mesej jelas dihantar oleh pelbagai pihak bahawa persoalan mengenai akidah Islam adalah isu penting dan perlu diberikan perhatian. Sikap tegas, tidak kompromi berkaitan isu-isu sensitif khususnya untuk memurtadkan umat Islam berterusan diambil oleh pihak tidak bertanggungjawab termasuklah kumpulan kristian. Beberapa kes dirujuk termasuklah insiden pemeriksaan Jais di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).


Kenapa hanya usaha ini digerakkan selepas kontroversi DUMC?

Dr Yusri: Sebelum kes DUMC, kita mendapat maklumat ada usaha kristiankan Islam tapi kes bukti yang jelas tidak dapat dilihat. Kes DUMC ni menunjukkan kepada kita satu bukti jelas, kaedah itu berlaku dengan terbuka. Ia merupakan pejuangan agresif dan berani apabila menganjurkan majlis meraikan umat Islam dalam gereja. Majlis itu menunjukkan satu sikap yang agresif, tidak takut dan tidak cuba untuk melakukannya secara sembunyi lagi, keadaan ini membimbangkan kerana ini bukanlah satu usaha terpencil, episod usaha memurtadkan umat Islam sering berlaku dan berterusan.

Aktiviti memurtadkan umat Islam telah berlaku seperti kes Natrah, Aisyah Bukhari, Lina Joy dan terbaru kes kelas tuisyen di Kampung Medan berlakunya penyebaran agama kristian kepada kanak- kanak Islam. Mereka juga menyebarkan ajaran tersebut kepada pesakit HIV, diambil kesempatan di sebalik penderitaaan mereka. Kita lihat ini semua satu usaha berterusan dan terancang untuk menggugat akidah umat Islam, mengancam kedudukan dan ketinggian agama Islam serta menghakis kehormatan agama Islam walaupun umat Islam sebagai penduduk majoriti dan teras di negara ini.

S/H: Yakin Islam bersatu
Penganjuran Himpunan Sejuta Umat pasti berdepan pelbagai cabaran khususnya merealisasikan sasaran sejuta kehadiran. Belum diambil kira faktor halangan lain termasuk logistik atau bantahan pihak-pihak lain?

Dr Yusri: Apabila menyentuh berkaitan isu akidah, murtad dan menentang aktiviti memurtadkan umat Islam, tidak sepatutnya ada masalah. Isu murtad, tiada siapa yang berkompromi dan pastinya boleh diterima semua orang khususnya umat Islam. Untuk berhimpun mendepani isu yang dikongsi oleh semua umat Islam, semuanya bersatu kerana tidak ada perbezaan pandangan, tiada khilaf, tanpa kira latar belakang, kecenderungan alim, soleh, semuanya bersama kerana ia isu akidah.

Masalah logistik memang ada tetapi kita yakin, ini adalah perhimpunan umat dan mereka akan datang pastinya berulamkan semangat ummah dan tidak mengharapkan layanan kelas pertama termasuklah disiapkan karpet merah untuk menyambut mereka.

Pastinya, mereka datang dengan semangat berkorban seperti di Arafah dan pastinya ada semangat lain di sebalik perhimpunan. Insya-Allah, saya yakin semua yang datang pada peehimpunan ini membawa satu semangat, untuk tunjukkan komitmen dan cintakan agama.
Setakat ini, apa yang telah dilaksanakan bagi menghidupkan ‘getaran’ perhimpunan?
Dr Yusri: Insya-Allah, ia adalah satu perhimpunan aman. Kita melakukannya mengikut prosedur termasuklah akan memohon permit dalam masa terdekat dan telah berurusan dengan pihak berkuasa agama di Selangor khususnya Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Kita juga menghantar surat kepada pejabat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana perhimpunan di negeri Selangor, kita meminta restu Tuanku sebagai Ketua Agama di negeri ini.

Kita juga turut menghubungi dan berbincang bersama sebahagian mufti- mufti setiap negeri, Alhamdulilah, mereka menyokong dan bersama kita dalam usaha kita menentang murtad di kalangan umat Islam.


Bagaimana pengisian perhimpunan dijadualkan berlangsung lebih tiga jam itu?
Dr Yusri: Ini adalah perhimpunan umat Islam, insya-Allah ia akan dilakukan dengan cara terhormat, berdisiplin, tahu adabnya berhimpun dengan aman, tempat terkawal. Perancangannya, perhimpunan dijadualkan bermula jam 2 petang dan pelbagai pengisian dakwah akan diadakan dengan tujuan menimbulkan kesedaran kepada yang hadir.
Kita akan mengadakan pidato dengan mengambil pendekatan pemidato yang terdiri daripada tokoh- tokoh berpengalaman dalam usaha- usaha pemurtadan ini dari dalam dan luar negara. Ia juga diselit dengan persembahan deklamasi sajak, lagu- lagu keagamaan dan berunsurkan kerohanian. Dalam pada itu, kita juga penceramah yang merupakan pendakwah termasuk daripada Indonesia yang berpengalaman secara langsung menghadapi isu murtad yang akan dikongsikan bersama rakyat. Kita juga berusaha membawa pengakuan bekas-bekas yang telah dikristiankan, bekas paderi yang terlibat memurtadkan Islam dan kini telah memeluk Islam untuk dikongsi pengalaman mereka bersama hadirin. Perhimpunan ini akan dianjurkan dalam suasana munajat yang diakhirkan dengan satu bacaan deklarasi Himpun Sejuta Umar. Kita akan panjangkan deklarasi tersebut kepada pihak- pihak yang berwajib dan menunjukkan kepada mereka apakah aspirasi, harapan, sikap dan pandangan umat Islam yang perlu dihormati oleh semua pihak.


S/H: Bukan perhimpunan politik
Beberapa siri sidang media sebelum ini menyaksikan kehadiran pelbagai latar belakang pertubuhan dan parti politik. Sejauhmana ia akan memberikan impak positif dalam menyemarakkan lagi keterujaan orang ramai menghadiri perhimpunan?

Dr Yusri: Gambaran dan sokongan perkongsian semangat dalam sidang media lalu memang menarik pelbagai kumpulan, tokoh pelbagai kecenderungan, organisasi- organisasi dan ramai tokoh yang hadir sama. Saya melihat isu ini berupaya menyatukan umat Islam, pelbagai lapisan masyarakat, keturunan budaya boleh bersatu dalam hal satu bila bercakap dalam Islam.


Tidak bimbang timbul persepsi perhimpunan sebenarnya bukan 100 peratus bebas pengaruh politik? 

Dr Yusri: Inisatif penganjuran perhimpunan ini adalah inisiatif individu dan ngo tanpa melibatkan parti politik. Penglibat tokoh- tokoh pelbagai parti dan latar belakang membuktikan bahawa ia tidak memihak mana- mana politik. Ia juga disokong oleh banyak tokoh- tokoh terkenal dari pelbagai organisasi.

Sebagai umat, memang kita tidak kecualikan parti politik, pemimpin untuk bersama- sama dalam isu ini malah mereka perlu bersemangat untuk mengatasi masalah ini.

Kita harap sokongan mereka tanpa mengira fahaman politik untuk bersatu dan perhimpunan ini akan berjaya. Sebagai Islam, kita bertanggungjawab untuk mempertahankan akidah umat Islam.

Ini bukan inisiatif kepartian, ini adalah bersih daripada politik kepartian.Ini anjuran bersama ngo, melibatkan ngo Islam, pertubuhan melibatkan Islam, kebudayaan, bahasa, social dan silat.

Jadi kita masih lagi memang mengalu- alukan, masa yang terhad kepada pertubuhan- pertubuhansempat dihubungi, ambillah peluang ini untuk menyahut panggilan Allah untuk pertahankan akidah Islam di negara ini. Panggilan ini bersama-sama tanpa mengira pertubuhan kecil atau besar untuk bergabung walaupun jauh di Sabah dan Sarawak, mereka mempunyai semangat bergabung, bersama-sama sejuta umat. Kita bercadang untuk membuat siaran langsung perhimpunan menerusi web TV dan berharap umat Islam di negara ini, di luar negara bersama-sama dengan kita.

Pelajar di luar negara digalakkan untuk berhimpun di tempat mereka, mengambil semangat untuk menentang aktiviti memurtadkan umat Islam, Insya-Allah, itu sudah membayangkan komitmen mereka. Sesiapa yang ingin menyertai perhimpunan ini mereka boleh terus pergi ke stadium.


S/H: Sejuta satu simbolik
Bilakah Himpun akan diadakan?


Dr. Yusri: Ia akan diadakan di Stadium Shah Alam, Shah Alam bermula jam 2 petang hingga 6 petang pada 22 Oktober nanti. Kita menganjurkannya dalam bentuk perhimpunan kerana dalam ajaran agama Islam sendiri berhimpun demi agama, menunjukkan sebagai kekuatan Islam dan syiar Islam.


Adakah yakin perhimpunan mampu mengumpul sejuta kehadiran?

Dr Yusri: Kita menyasarkan 100,000 orang akan datang membayangkan semangat sejuta umat. Kawasan stadium besar dan tidak menimbulkan masalah meletakkan kenderaan.
Kita menggalakkan mereka datang dengan pengangkutan awam, berkongsi kenderaaan dan membawa anak- anak dalam perhimpunan itu kerana ia mempunyai pelbagai aktiviti dan pengisian yang bersesuaian dengan semua lapisan masyarakat. Angka sejuta itu adalah membayangkan semangat dan memadai bahawa sentimen yang mewakili lebih sejuta.


Difahamkan, banyak NGO dari seluruh negara akan terlibat dalam perhimpunan ini.
Apakah harapan terhadap perhimpunan itu?


Dr Yusri: Sejuta sebagai simbolik, ia akan memberikan titik mula siri jelajah di setiap negeri dalam rangka untuk menyedarkan umat mengenai murtad. Kita menyasarkan penyertaan umat Islam dikumpulkan di setiap negeri.

Tidak mustahil, angka sejuta boleh dicapai tetapi kita terbatas tempat untuk himpun. Insya-Allah, sejuta lebih dapat dicapai sekaligus menunjukkan angka sentimen sokongan majoriti umat, Islam bersama kita.

Sesiapa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perhimpunan ini, bolehlah mendapatkan maklumat di website http://himpun.org.

Program: Himpunan Sejuta Umat
Tarikh: 22 Oktober 2011
Masa: 2 petang hingga 6 petang
Tempat: Stadium Shah Alam

Tuesday, October 4, 2011

Permohonan KPLI-SR Ambilan Januari 2012


Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui Bahagian Pendidikan Guru sekali lagi mempelawa calon-calon yang berkelayakan, berpotensi, berminat dan beriltizam serta memiliki Ijazah Sarjana Muda daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) tempatan atau luar negara yang diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepas Ijazah Sekolah Rendah (KPLI-SR) j-QAF di Institut Pendidikan Guru (IPG), Kementerian Pelajaran Malaysia.
permohonan kpli-sr ambilan januari 2011
KETERANGAN PROGRAM
Nama Program : Kursus Perguruan Lepas Ijazah Sekolah Rendah (KPLI-SR) j-QAF
Mod Latihan : Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS)
Tempoh Pengajian : 1  1/2 Tahun (18 Bulan)
SYARAT-SYARAT KELAYAKAN ASAS
Calon-calon hendaklah:
  1. Warganegara Malaysia.
  2. Calon hendaklah sihat fizikal dan mental.
  3. Berumur tidak melebihi 35 tahun pada 1 Januari 2012 iaitu lahir pada atau selepas 1 Januari 1977.
  4. Memiliki sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengajian Islam atau Pengajian Bahasa Arab atau al-Quran atau bidang yang berkaitan yang setaraf dengannya daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) tempatan atau luar negara yang diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Pemohon perlu merujuk laman sesawang JPA di alamat berikut : http://www.interactive.jpa.gov.my/webinteraktif/frmMainIktiraf.asp
  5. Memiliki kepujian Bahasa Melayu di peringkat SPM atau SPM(V) serta lulus ujian lisan atau Prinsipal Bahasa Melayu di peringkat STPM.
CARA MENGEMUKAKAN PERMOHONAN
  1. Permohonan hanya boleh dibuat secara atas talian (online) dengan melayari laman sesawang Kementerian Pelajaran Malaysia di alamat: http://www.moe.gov.my mulai 26 September 2011 mulai jam 9.00 pagi.
  2. Permohonan dalam talian boleh dibuat dengan menggunakan Nombor Pengenalan Individu (PIN) yang boleh dibeli di Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh negara dengan bayaran RM6.00 (Ringgit Malaysia Enam sahaja) melalui saluran kaunter, mesin ATM, Perbankan Internet dan Perbankan Sistem Maklumat Ringkas (SMS Banking). Pembelian nombor PIN melalui saluran mesin ATM, Perbankan Internet dan Perbankan Sistem Maklumat Ringkas (SMS Banking) adalah bagi pemohon yang mempunyai akaun dengan Bank Simpanan Nasional.
  3. Pemohon dinasihatkan melayari laman sesawang : http://www.moe.gov.my bagi mendapatkan maklumat iklan, bidang pengkhususan dan gred minimum serta kalendar aktiviti sebelum membuat permohonan.
  4. Calon dibenarkan mengemukakan SATU permohonan sahaja.
  5. Calon boleh menggunakan nombor PIN yang sama untuk membuat pindaan butiran kepada permohonan yang telah dihantar. Pindaan butiran permohonan dihadkan tiga kali sahaja dan hendaklah dibuat sebelum tarikh tutup permohonan.
  6. Maklumat yang tidak benar dan tidak lengkap boleh mengakibatkan permohonan ditolak.
 MAKLUMAN DAN PERHATIAN
  1. Calon yang memenuhi syarat-syarat kelayakan asas untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepas Ijazah Sekolah Rendah (KPLI-SR) j-QAF Mod Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS) ini diwajibkan menduduki Ujian Pemilihan Calon Guru Malaysia (Malaysian Teacher Selection Test – MTeST) dan menghadiri temu duga yang akan ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
  2. Keutamaan akan diberi kepada calon yang mempunyai ijazah yang tepat dan bersesuaian dengan bidang yang dipohon. (Sila rujuk senarai kesesuaian ijazah di Bahagian Kesesuaian Ijazah – KESESUAIAN IJAZAH DENGAN BIDANG PENGKHUSUSAN YANG DITAWARKAN untuk maklumat lanjut).
  3. Calon yang dipanggil menduduki MTeST dikehendaki mencetak Tiket Panggilan Ujian daripada laman web Kementerian Pelajaran Malaysia dan dibawa bersama semasa ujian.
  4. Calon yang layak dipanggil temu duga dikehendaki mencetak Surat Panggilan Temu Duga, Lembaran Pernyataan Hasrat, dan Borang Butiran Diri daripada laman sesawang. Borang Butiran Diri dan Lembaran Pernyataan Hasrat yang telah diisi dan dilengkapkan hendaklah dibawa bersama-sama dengan dokumen-dokumen lain pada hari temu duga. Bahagian Pendidikan Guru tidak akan mengeluarkan makluman secara bersurat kepada calon.
  5. Calon yang sedang berkhidmat dengan Kerajaan Malaysia atau badan berkanun dikehendaki membawa Surat Pengesahan Ketua Jabatan semasa temu duga.
  6. Calon yang berjaya ditawarkan kursus akan menerima surat tawaran rasmi semasa melaporkan diri di Institut Pendidikan Guru yang ditetapkan.
  7. Calon adalah dinasihatkan supaya terlebih dahulu membuat semakan kepada status kelayakan ijazah yang diiktiraf oleh kerajaan dengan melayari portal di alamat berikut : http://www.interactive.jpa.gov.my/webinteraktif/frmMainIktiraf.asp
  8. Maklumat permohonan yang tidak lengkap atau tidak benar, boleh mengakibatkan permohonan ditolak.
PENDAFTARAN
Calon yang ditawarkan mengikuti kursus ini akan mendaftar di Institut Pendidikan Guru yang ditentukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada tarikh yang akan ditetapkan. Calon yang telah ditemu duga dan tidak menerima sebarang maklumat dalam tempoh satu (1) bulan selepas tarikh pendaftaran di Institut Pendidikan Guru dianggap tidak berjaya. Bahagian ini tidak akan mengeluarkan maklumat secara bersurat kepada calon.
TARIKH TUTUP PERMOHONAN
Permohonan bagi Ambilan Januari 2012 ditutup pada 9 Oktober 2011 (AHAD).
Jadi kepada mereka yang berkelayakan dan berminat untuk menjadi guru, segeralah dapatkan maklumat lanjut berkenaan program ini dilaman sesawang yang disediakan dihttp://www.moe.gov.my. Iklan program ini boleh juga diakses terus di lamanhttp://apps.moe.gov.my/kpli/mohon_kpli_jqaf2012/iklan.html

Bahasa Jiwa Bangsa?



Malaysia sudah menjangkau 54 tahun kemerdekaan tetapi masih lagi terdapat segelintir rakyat yang mengaku sebagai rakyat Malaysia, memiliki surat beranak dan mykad yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia tetapi tidak fasih bahkan lebih teruk lagi yang tidak pandai bertutur dalam bahasa kebangsaan Malaysia. Timbul tanda Tanya disini bahawa sudah merdeka kah mereka ini? Sayangkah mereka kepada Negara Malaysia dan sanggupkah mereka berjuang untuk mempertahankan Malaysia jika di ancam?

Malaysia telah melalui beberapa zaman yang getir iaitu kemasukan Portugis, Inggeris, Jepun dan Komunis. Selepas mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Malaysia membangun dengan pesat untuk mencapai sebuah Negara maju. Semua rakyat diberi peluang untuk belajar  tidak kira di ceruk mana pun mereka berada. Oleh itu, jangan salahkan kerajaan jika diri sendiri yang  tidak mahu berusaha.

Berbalik kepada bahasa kebangsaan, Kempen ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ telah pun lama di perkenalkan oleh kerajaan Malaysia. Tujuan utama kempen tersebut ialah memartabatkan bahasa Malaysia dan dalam masa yang sama untuk memupuk perpaduan dikalangan masyarakat yang berbilang kaum.

Bagi mereka yang masih lagi tergagap-gagap bila bertutur dalam bahasa Malaysia, disarankan supaya muhasabah lah diri anda. Semua sekolah di Malaysia diwajibkan untuk mengambil subjek bahasa Malaysia tidak kiralah samada sekolah tersebut SJKC atau SJKT. Dengan pendekatan tersebut memang tidak patut jika masih ada lagi yang tidak boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan.

Apa yang melucukan, ada di sebuah daerah di negeri Sarawak yang memohon kerajaan menggaji anggota kerajaan yang terdiri dari kaum tersebut semata-mata untuk mengatasi masalah mereka yang tidak pandai bertutur dalam bahasa Malaysia. Fikir-fikirlah nasib anda wahai penduduk peribumi. Janganlah khayal dengan kesenangan yang sedikit dan bersifat sementara serta selesa ditempat sendiri.

Saturday, October 1, 2011

Pelajar Di halang mengambil UPSR


Kes pelajar sekolah rendah yang tidak dibenarkan untuk mengambil Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Bintangor, Sarawak dan Kedah menjadi isu pendidikan masa kini. Keghairahan pihak sekolah untuk menaikkan Gred Prestasi Sekolah (GPS) menjadi punca utama kepada kes yang dilaporkan tersebut. Dalam mencapai NKRA bidang keberhasilan utama kerajaan dalam bidang pendidikan, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Malaysia telah mengumumkan untuk memberi ganjaran kepada sekolah yang mempunyai prestasi baik iaitu GPS sekolah yang meningkat selama tiga tahun berturut-turut.

Habuan kerajaan ini yang asalnya hanya diberi kepada guru besar dan pengetua setiap sekolah yang meningkat telah dilanjutkan kepada guru-guru sekolah dimana peningkatan prestasi tersebut disumbangkan oleh guru-guru bawahan. Oleh demikian, timbul pula rasa tidak puas hati dikalangan kakitangan sokongan yang mendakwa mereka juga memainkan peranan penting dalam hal tersebut. Setakat ini belum ada lagi lanjutan ganjaran tersebut kepada kakitangan sokongan tersebuit.

Bukan pasal ganjaran yang hendak dibincang hari ini, tetapi lebih kepada hak pelajar untuk menduduki setiap peperiksaan. Sekolah tidak boleh menyekat hak-hak pelajar walaupun pelajar tersebut memang langsung tidak tahu membaca. Sebagai guru, haruslah mengambil langkah yang terbaik untuk menangani masalah keciciran pelajar ini. Setiap manusia ada kekuatan dan kekurangan masing-masing. Itu yang membezakan antara mereka. Oleh itu, seburuk mana pun pelajar itu, berilah dia peluang.

Tetapi perlu diingat, masalah pelajar yang keciciran ini jangan menyalahkan pihak sekolah dan guru-guru sahaja. Disekolah bukannya seorang pelajar sahaja. Dalam satu kelas, ada beberapa pelajar lain. Jadi, walaupun dah diberi tumpuan kepada semua pelajar, tetapi pelajar yang tidak memberi perhatian semasa proses pengajaran dan pembelajaran juga menjadi sebab kepada kebodohan tersebut. Oleh itu, ibubapa perlu memainkan peranan untuk mengesan kebolehan anak mereka dan sentiasalah berbincang dengan pihak sekolah untuk mengetahui keadaan anak mereka disekolah.

Kekadang pelajar mempunyai watak yang berbeza ketika di rumah dan di sekolah. Di depan mak bapak mereka mugkin pijak semut pun tak mati, tapi di sekolah pula, dialah kepala penyangak. Ibubapa janganlah terlalu mempercayai apa yang dicakap oleh anak mereka tanpa penyiasatan lanjut. Untuk menghindari perkara ini, ibubapa sentiasalah berhubung rapat dengan pihak sekolah.

Masalah yang timbul dikalangan pelajar hari ini janganlah menyalahkan satu pihak sahaja. Semua pihak terutama ibubapa mestilah memainkan peranan masing-masing dengan memikirkan masyarakat di sekeliling sebagai keutaman dan tidak hanya memikirkan hal sendiri sahaja. Sikap jaga tepi kain orang perlu dihidupkan supaya lahirnya masyarakat yang penyayang yang boleh mencegah banyak masalah yang timbul hari ini.

KV vs SPMV


Keghairahan dalam melakukan transformasi pendidikan vokasional perlu dilihat dan direnung supaya setiap pembaharuan yang dilakukan lebih banyak mendatangkan manfaat dan kebaikan kepada Negara dan masyarakat terutama sekali kepada pelanggan iaitu pelajar itu sendiri. Kebaikan yang dimaksudkan ialah mutu pelajar keluaran kolej vokasional nanti. Seperti yang dimaklumkan di media, pelajar yang menghabiskan pengajian di kolej vokasional nanti akan mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) setaraf dengan diploma. Jika di ukur dengan usia pelajar, program ini amat bagus kepada pelajar kerana mereka boleh mendapatkan diploma lebih awal jika dibandingkan dengan laluan lain. Tetapi apa yang lebih penting ialah kemahiran yang ada pada pelajar yang keluar nanti mestilah mempunyai kualiti yang sepatutnya dan setaraf dengan diploma yang mereka perolehi.

Umum sudah tahu bahawa pembelajaran berasaskan modular atau MPAV yang dilaksanakan sekarang hanya melahirkan pelajar yang mengetahui teori tetapi hanya sedikit kemahiran sahaja atau pun kemahiran yang asas. Ada juga sekolah yang hanya mementingkan folio yang wajib disiapkan dan juga sebagai tiket untuk pelajar tersebut mengambil SPM. MPAV juga kurang member pendedahan kemahiran yang secukupnya kepada pelajar. Ini menyebabkan pelajar vokasional yang keluar dari SMV/SMT yang mengambil SPM kurang kemahiran dan tidak dapat memenuhi alam pekerjaan sebenar.

Pada pendapat saya, modul atau sistem SPMV sebelum ini lebih baik dan bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan yang mahir dan separa mahir untuk memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat dan dalam masa yang sama dapat mengurangkan pergantungan kerajaan kepada pekerja asing. Jika diselidiki dan dilihat kembali model SPMV dahulu, sistem tersebut dapat melahirkan pelajar yang boleh bekerja. Contohnya, pelajar automotif keluaran SPMV dahulu, mereka dapat merombak dan memasang semula keseluruhan enjin kenderaan sehingga berfungsi. Ini akan dilakukan pelajar dan mereka mesti mahir dengan hal tersebut kerana mereka akan diuji dalam SPMV iaitu ujian amali yang mengambil masa selama 5 jam. Pelajar-pelajar yang keluar semasa sistem ini ialah pelajar vokasional yang memang dapat bekerja dan berkemahiran tinggi dan kebanyakan mereka juga terus diserap untuk bekerja walaupun hanya mempunyai SPMV.

Diharapkan perubahan besar-besaran yang dilakukan dalam sistem pendidikan vokasional pada tahun 2013 nanti memberi impak positif untuk melahirkan pelajar yang bermutu terutama dapat menguasai kemahiran dalam bidang masing-masing tanpa mengetepikan bidang akademik untuk memudahkan mereka melanjutkan pelajaran bagi mereka yang berkebolehan.