Ditulis oleh;
.
-->
TQVM FOR CLICK

Monday, October 10, 2011

Sejuta perangi murtad

S/H: Umat Islam seluruh negara dijemput hadir Perhimpunan Sejuta Umat 22 Oktober ini

Penyiasatan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di semua premis di Petaling Jaya yang didakwa wujudnya penyebaran ajaran Kristian kepada Melayu khususnya beragama Islam, mengejutkan ramai pihak. Kontroversi itu mencetuskan pelbagai reaksi namun tumpuan utama perlu terarah kepada komitmen dan ketegasan semua pihak untuk mengatasi masalah akidah di kalangan umat Islam. Kontroversi sama juga mengundang kesedaran lebih jitu hingga terbentuknya Sekretariat Sejuta Umat, gabungan puluhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam yang peka dengan situasi semasa menghimpit umat Islam.

Isu murtad bukan perkara main-main dan menyedari akan perlu ada usaha serius menanganinya, mereka bangkit menganjurkan program Himpunan Sejuta Umat dijadualkan 22 Oktober ini. Kepada wartawan Sinar Harian, NORSHAHZURA MAT ZUKI, Pengerusi Bersama Himpunan Sejuta Umat, Dr Yusri Mohamad menjelaskan misi dan visi sebenar perhimpunan yang bakal menghimpunkan umat Islam seluruh negara.


Apa Himpunan Sejuta Umat Islam sebenarnya? Bagaimana inisiatif ini timbul?

Dr Yusri: Perjumpaan sejuta umat Islam adalah satu inisiatif hasil cetusan idea pelbagai pihak Islam melibatkan pertubuhan Islam, individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin terhadap isu akidah iaitu memurtadkan umat Islam.

Ia merupakan satu mesej jelas dihantar oleh pelbagai pihak bahawa persoalan mengenai akidah Islam adalah isu penting dan perlu diberikan perhatian. Sikap tegas, tidak kompromi berkaitan isu-isu sensitif khususnya untuk memurtadkan umat Islam berterusan diambil oleh pihak tidak bertanggungjawab termasuklah kumpulan kristian. Beberapa kes dirujuk termasuklah insiden pemeriksaan Jais di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).


Kenapa hanya usaha ini digerakkan selepas kontroversi DUMC?

Dr Yusri: Sebelum kes DUMC, kita mendapat maklumat ada usaha kristiankan Islam tapi kes bukti yang jelas tidak dapat dilihat. Kes DUMC ni menunjukkan kepada kita satu bukti jelas, kaedah itu berlaku dengan terbuka. Ia merupakan pejuangan agresif dan berani apabila menganjurkan majlis meraikan umat Islam dalam gereja. Majlis itu menunjukkan satu sikap yang agresif, tidak takut dan tidak cuba untuk melakukannya secara sembunyi lagi, keadaan ini membimbangkan kerana ini bukanlah satu usaha terpencil, episod usaha memurtadkan umat Islam sering berlaku dan berterusan.

Aktiviti memurtadkan umat Islam telah berlaku seperti kes Natrah, Aisyah Bukhari, Lina Joy dan terbaru kes kelas tuisyen di Kampung Medan berlakunya penyebaran agama kristian kepada kanak- kanak Islam. Mereka juga menyebarkan ajaran tersebut kepada pesakit HIV, diambil kesempatan di sebalik penderitaaan mereka. Kita lihat ini semua satu usaha berterusan dan terancang untuk menggugat akidah umat Islam, mengancam kedudukan dan ketinggian agama Islam serta menghakis kehormatan agama Islam walaupun umat Islam sebagai penduduk majoriti dan teras di negara ini.

S/H: Yakin Islam bersatu
Penganjuran Himpunan Sejuta Umat pasti berdepan pelbagai cabaran khususnya merealisasikan sasaran sejuta kehadiran. Belum diambil kira faktor halangan lain termasuk logistik atau bantahan pihak-pihak lain?

Dr Yusri: Apabila menyentuh berkaitan isu akidah, murtad dan menentang aktiviti memurtadkan umat Islam, tidak sepatutnya ada masalah. Isu murtad, tiada siapa yang berkompromi dan pastinya boleh diterima semua orang khususnya umat Islam. Untuk berhimpun mendepani isu yang dikongsi oleh semua umat Islam, semuanya bersatu kerana tidak ada perbezaan pandangan, tiada khilaf, tanpa kira latar belakang, kecenderungan alim, soleh, semuanya bersama kerana ia isu akidah.

Masalah logistik memang ada tetapi kita yakin, ini adalah perhimpunan umat dan mereka akan datang pastinya berulamkan semangat ummah dan tidak mengharapkan layanan kelas pertama termasuklah disiapkan karpet merah untuk menyambut mereka.

Pastinya, mereka datang dengan semangat berkorban seperti di Arafah dan pastinya ada semangat lain di sebalik perhimpunan. Insya-Allah, saya yakin semua yang datang pada peehimpunan ini membawa satu semangat, untuk tunjukkan komitmen dan cintakan agama.
Setakat ini, apa yang telah dilaksanakan bagi menghidupkan ‘getaran’ perhimpunan?
Dr Yusri: Insya-Allah, ia adalah satu perhimpunan aman. Kita melakukannya mengikut prosedur termasuklah akan memohon permit dalam masa terdekat dan telah berurusan dengan pihak berkuasa agama di Selangor khususnya Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Kita juga menghantar surat kepada pejabat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana perhimpunan di negeri Selangor, kita meminta restu Tuanku sebagai Ketua Agama di negeri ini.

Kita juga turut menghubungi dan berbincang bersama sebahagian mufti- mufti setiap negeri, Alhamdulilah, mereka menyokong dan bersama kita dalam usaha kita menentang murtad di kalangan umat Islam.


Bagaimana pengisian perhimpunan dijadualkan berlangsung lebih tiga jam itu?
Dr Yusri: Ini adalah perhimpunan umat Islam, insya-Allah ia akan dilakukan dengan cara terhormat, berdisiplin, tahu adabnya berhimpun dengan aman, tempat terkawal. Perancangannya, perhimpunan dijadualkan bermula jam 2 petang dan pelbagai pengisian dakwah akan diadakan dengan tujuan menimbulkan kesedaran kepada yang hadir.
Kita akan mengadakan pidato dengan mengambil pendekatan pemidato yang terdiri daripada tokoh- tokoh berpengalaman dalam usaha- usaha pemurtadan ini dari dalam dan luar negara. Ia juga diselit dengan persembahan deklamasi sajak, lagu- lagu keagamaan dan berunsurkan kerohanian. Dalam pada itu, kita juga penceramah yang merupakan pendakwah termasuk daripada Indonesia yang berpengalaman secara langsung menghadapi isu murtad yang akan dikongsikan bersama rakyat. Kita juga berusaha membawa pengakuan bekas-bekas yang telah dikristiankan, bekas paderi yang terlibat memurtadkan Islam dan kini telah memeluk Islam untuk dikongsi pengalaman mereka bersama hadirin. Perhimpunan ini akan dianjurkan dalam suasana munajat yang diakhirkan dengan satu bacaan deklarasi Himpun Sejuta Umar. Kita akan panjangkan deklarasi tersebut kepada pihak- pihak yang berwajib dan menunjukkan kepada mereka apakah aspirasi, harapan, sikap dan pandangan umat Islam yang perlu dihormati oleh semua pihak.


S/H: Bukan perhimpunan politik
Beberapa siri sidang media sebelum ini menyaksikan kehadiran pelbagai latar belakang pertubuhan dan parti politik. Sejauhmana ia akan memberikan impak positif dalam menyemarakkan lagi keterujaan orang ramai menghadiri perhimpunan?

Dr Yusri: Gambaran dan sokongan perkongsian semangat dalam sidang media lalu memang menarik pelbagai kumpulan, tokoh pelbagai kecenderungan, organisasi- organisasi dan ramai tokoh yang hadir sama. Saya melihat isu ini berupaya menyatukan umat Islam, pelbagai lapisan masyarakat, keturunan budaya boleh bersatu dalam hal satu bila bercakap dalam Islam.


Tidak bimbang timbul persepsi perhimpunan sebenarnya bukan 100 peratus bebas pengaruh politik? 

Dr Yusri: Inisatif penganjuran perhimpunan ini adalah inisiatif individu dan ngo tanpa melibatkan parti politik. Penglibat tokoh- tokoh pelbagai parti dan latar belakang membuktikan bahawa ia tidak memihak mana- mana politik. Ia juga disokong oleh banyak tokoh- tokoh terkenal dari pelbagai organisasi.

Sebagai umat, memang kita tidak kecualikan parti politik, pemimpin untuk bersama- sama dalam isu ini malah mereka perlu bersemangat untuk mengatasi masalah ini.

Kita harap sokongan mereka tanpa mengira fahaman politik untuk bersatu dan perhimpunan ini akan berjaya. Sebagai Islam, kita bertanggungjawab untuk mempertahankan akidah umat Islam.

Ini bukan inisiatif kepartian, ini adalah bersih daripada politik kepartian.Ini anjuran bersama ngo, melibatkan ngo Islam, pertubuhan melibatkan Islam, kebudayaan, bahasa, social dan silat.

Jadi kita masih lagi memang mengalu- alukan, masa yang terhad kepada pertubuhan- pertubuhansempat dihubungi, ambillah peluang ini untuk menyahut panggilan Allah untuk pertahankan akidah Islam di negara ini. Panggilan ini bersama-sama tanpa mengira pertubuhan kecil atau besar untuk bergabung walaupun jauh di Sabah dan Sarawak, mereka mempunyai semangat bergabung, bersama-sama sejuta umat. Kita bercadang untuk membuat siaran langsung perhimpunan menerusi web TV dan berharap umat Islam di negara ini, di luar negara bersama-sama dengan kita.

Pelajar di luar negara digalakkan untuk berhimpun di tempat mereka, mengambil semangat untuk menentang aktiviti memurtadkan umat Islam, Insya-Allah, itu sudah membayangkan komitmen mereka. Sesiapa yang ingin menyertai perhimpunan ini mereka boleh terus pergi ke stadium.


S/H: Sejuta satu simbolik
Bilakah Himpun akan diadakan?


Dr. Yusri: Ia akan diadakan di Stadium Shah Alam, Shah Alam bermula jam 2 petang hingga 6 petang pada 22 Oktober nanti. Kita menganjurkannya dalam bentuk perhimpunan kerana dalam ajaran agama Islam sendiri berhimpun demi agama, menunjukkan sebagai kekuatan Islam dan syiar Islam.


Adakah yakin perhimpunan mampu mengumpul sejuta kehadiran?

Dr Yusri: Kita menyasarkan 100,000 orang akan datang membayangkan semangat sejuta umat. Kawasan stadium besar dan tidak menimbulkan masalah meletakkan kenderaan.
Kita menggalakkan mereka datang dengan pengangkutan awam, berkongsi kenderaaan dan membawa anak- anak dalam perhimpunan itu kerana ia mempunyai pelbagai aktiviti dan pengisian yang bersesuaian dengan semua lapisan masyarakat. Angka sejuta itu adalah membayangkan semangat dan memadai bahawa sentimen yang mewakili lebih sejuta.


Difahamkan, banyak NGO dari seluruh negara akan terlibat dalam perhimpunan ini.
Apakah harapan terhadap perhimpunan itu?


Dr Yusri: Sejuta sebagai simbolik, ia akan memberikan titik mula siri jelajah di setiap negeri dalam rangka untuk menyedarkan umat mengenai murtad. Kita menyasarkan penyertaan umat Islam dikumpulkan di setiap negeri.

Tidak mustahil, angka sejuta boleh dicapai tetapi kita terbatas tempat untuk himpun. Insya-Allah, sejuta lebih dapat dicapai sekaligus menunjukkan angka sentimen sokongan majoriti umat, Islam bersama kita.

Sesiapa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perhimpunan ini, bolehlah mendapatkan maklumat di website http://himpun.org.

Program: Himpunan Sejuta Umat
Tarikh: 22 Oktober 2011
Masa: 2 petang hingga 6 petang
Tempat: Stadium Shah Alam

No comments: