Ditulis oleh;
.
-->
TQVM FOR CLICK

Saturday, October 1, 2011

KV vs SPMV


Keghairahan dalam melakukan transformasi pendidikan vokasional perlu dilihat dan direnung supaya setiap pembaharuan yang dilakukan lebih banyak mendatangkan manfaat dan kebaikan kepada Negara dan masyarakat terutama sekali kepada pelanggan iaitu pelajar itu sendiri. Kebaikan yang dimaksudkan ialah mutu pelajar keluaran kolej vokasional nanti. Seperti yang dimaklumkan di media, pelajar yang menghabiskan pengajian di kolej vokasional nanti akan mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) setaraf dengan diploma. Jika di ukur dengan usia pelajar, program ini amat bagus kepada pelajar kerana mereka boleh mendapatkan diploma lebih awal jika dibandingkan dengan laluan lain. Tetapi apa yang lebih penting ialah kemahiran yang ada pada pelajar yang keluar nanti mestilah mempunyai kualiti yang sepatutnya dan setaraf dengan diploma yang mereka perolehi.

Umum sudah tahu bahawa pembelajaran berasaskan modular atau MPAV yang dilaksanakan sekarang hanya melahirkan pelajar yang mengetahui teori tetapi hanya sedikit kemahiran sahaja atau pun kemahiran yang asas. Ada juga sekolah yang hanya mementingkan folio yang wajib disiapkan dan juga sebagai tiket untuk pelajar tersebut mengambil SPM. MPAV juga kurang member pendedahan kemahiran yang secukupnya kepada pelajar. Ini menyebabkan pelajar vokasional yang keluar dari SMV/SMT yang mengambil SPM kurang kemahiran dan tidak dapat memenuhi alam pekerjaan sebenar.

Pada pendapat saya, modul atau sistem SPMV sebelum ini lebih baik dan bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan yang mahir dan separa mahir untuk memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat dan dalam masa yang sama dapat mengurangkan pergantungan kerajaan kepada pekerja asing. Jika diselidiki dan dilihat kembali model SPMV dahulu, sistem tersebut dapat melahirkan pelajar yang boleh bekerja. Contohnya, pelajar automotif keluaran SPMV dahulu, mereka dapat merombak dan memasang semula keseluruhan enjin kenderaan sehingga berfungsi. Ini akan dilakukan pelajar dan mereka mesti mahir dengan hal tersebut kerana mereka akan diuji dalam SPMV iaitu ujian amali yang mengambil masa selama 5 jam. Pelajar-pelajar yang keluar semasa sistem ini ialah pelajar vokasional yang memang dapat bekerja dan berkemahiran tinggi dan kebanyakan mereka juga terus diserap untuk bekerja walaupun hanya mempunyai SPMV.

Diharapkan perubahan besar-besaran yang dilakukan dalam sistem pendidikan vokasional pada tahun 2013 nanti memberi impak positif untuk melahirkan pelajar yang bermutu terutama dapat menguasai kemahiran dalam bidang masing-masing tanpa mengetepikan bidang akademik untuk memudahkan mereka melanjutkan pelajaran bagi mereka yang berkebolehan.

No comments: