Ekspo Kelantan 2013

Pertunjukkan Gasing Terbang oleh Kumpulan Gasing Terbang Wakaf Raja dari Pasir Puteh.




SHAH ALAM - Ekspo Kelantan 2013 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini menyasarkan kehadiran antara 10,000 hingga 20,000 pengunjung.

Program anjuran Kerajaan Negeri Kelantan itu diadakan di pekarangan Kompleks Media Kumpulan Karangkraf di sini.

Pelbagai  acara menarik  dengan tema pembangunan dan kebudayaan masyarakat Kelantan   disediakan kepada pengunjung.

Pengurus Acara Eskpo Kelantan 2013, Zailani May berkata, pengisian ekspo berkenaan adalah untuk mempromosikan keunikan negeri Kelantan dalam pelbagai aspek.

Ekspo yang julung kalinya diadakan ini, katanya memberi pendedahan kepada warga Kelantan yang berada di sekitar Lembah Klang dan juga masyarakat sekitar  yang ingin mengetahui dengan lebih dekat kebudayaan masyarakat Kelantan.

“Melalui ekspo ini diharap kita dapat berhimpun bersama dan melihat sendiri produk-produk yang dihasilkan oleh usahawan serta pembangunan ekonomi negeri.

“Sebanyak 52 gerai jualan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan 40 gerai pameran melibatkan agensi kerajaan negeri dan swasta.  Justeru itu, kita mengalu-alukan kehadiran orang ramai bersama memeriahkan ekspo kali ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Timbalan Exco Pembangunan, Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan juga Pengarah Ekspo, Zulkifli Mamat berkata, penganjuran ekspo berkenaan adalah platform buat kerajaan negeri menyampaikan maklumat perkembangan dan kemajuan pembangunan negeri itu.

“Secara keseluruhannya objektif ekspo ini bertujuan memberi pendedahan kepada pengunjung sama ada orang kelantan ataupun masyarakat luar Kelantan untuk mendapatkan maklumat terkini dan pencapaian negeri Kelantan.

“Kemajuan Kelantan dengan konsep Membangun Bersama Islam yang diterapkan oleh kerajaan negeri  bukan semata-mata pembangunan fizikal malah lebih mementingkan pembangunan spritual,” katanya.

Sepanjang hari pertama hari ini, antara aktiviti yang diadakan adalah pameran, jualan, kuiz, pertunjukan Silat, pertunjukan Gasing Terbang dan Dikir Barat.

Selain itu, penganjur juga menyediakan 1,000 hadiah misteri kepada 1,000 pengunjung terawal pada setiap hari dengan mendaftar di gerai urusetia yang disediakan.

Justeru itu, orang ramai dialu-alukan untuk bersama memeriahkan Ekspo Kelantan 2013 yang akan dirasmikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pada jam 9 malam esok.