BARANGKALI, imej sistem pendidikan negara kian tercalar apabila  pelbagai insiden memalukan dan memualkan sering terpampang di media  massa.
  Dulu salah laku pelajar menjadi tajuk berita, kini guru pula  seolah-olah mengambil tempat dengan kesalahan dan perlakuan tidak masuk  akal. Lebih memalukan apabila golongan dihormati dan disanjung itu  terbabit pula dengan perbuatan mencemarkan maruah.
Pastinya senario itu mengundang kemusykilan masyarakat, apakah yang sedang melanda institusi pendidikan negara hari ini hingga golongan guru hilang pertimbangan?
  Adakah perlakuan itu disebabkan tekanan kerja  yang semakin bertambah hingga mereka 'terlanjur' perbuatan? Apakah  mereka sememangnya 'gatal' dan mengambil kesempatan atau masyarakat  hanya memperbesar-besarkan hal kecil yang boleh ditangani tanpa  pembabitan orang luar?
  Kaunselor pakar, perunding dan pakar  motivasi, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Universiti  Malaya, Profesor Madya  Dr Haslee Sharil Abdullah, berkata jangan  terburu-buru  membuat andaian kepada guru bermasalah tanpa menimbangkan  kemungkinan dan faktor hingga tercetusnya insiden.
 Menurutnya, sikap masyarakat yang mudah mengambil tindakan dan  melemparkan pandangan negatif hanya memburukkan keadaan selain  menimbulkan ketegangan hingga menjejaskan maruah atau masa depan guru  terbabit.
"Belum tentu mereka bersalah biarpun tindakan sudah diambil. Inilah sikap buruk masyarakat kita yang mudah sangat meletakkan kesalahan tanpa usul periksa sekali gus mencalarkan nama baik sekolah, pelajar serta peribadi individu.
  "Tindakan  terburu-buru tidak profesional dalam menangani masalah malah  menjadikannya sebagai tindakan pasif bagi individu lain. Justeru sebelum  mengambil keputusan, penilaian menyeluruh perlu dilakukan supaya pihak  lain tidak teraniaya," katanya.
Sejak akhir-akhir ini, media massa melaporkan masalah perlakuan guru yang dianggap bermasalah dan tidak sesuai dengan norma masyarakat hingga mencetuskan kebimbangan semua pihak.
 Antaranya perlakuan guru yang suka menyentuh fizikal pelajar  berlainan gender dengan menggunakan  'hukuman' sebagai alasan  menghalalkan perbuatan.  Ada juga menyentuh dengan alasan kasih sayang  biarpun tidak perlu.
Beliau berkata bagi mengelakkan kekeliruan, sama ada pelajar atau guru perlu tahu menggunakan hak masing-masing bukan menyalahgunakannya bagi tujuan tertentu.
 "Selalunya insiden berlaku kerana pelajar berasakan hak peribadi  dicabuli sementara guru beranggapan itu hak mereka untuk mendisiplinkan  pelajar. Bila wujud kekeliruan, sudah tentu tercetusnya masalah.
"Sewajarnya kedua-dua pihak tahu batas-batas boleh digunakan bagi mengelakkan kontroversi. Sudah termaktub hanya atas sebab tertentu saja seseorang itu boleh disentuh, contohnya atas tujuan perubatan atau rawatan oleh mereka yang bertauliah seperti doktor.
"Jika semua pihak jelas mengenainya, sudah pasti tidak timbul isu begini. Sangat malang apabila guru dan pelajar terpaksa bertelingkah atau 'berperang' hanya kerana perkara boleh dielakkan," katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan ada guru suka mengambil kesempatan namun menganggapnya ia hanya kes terpencil.
Guru terbabit katanya perlu mendapatkan rawatan psikologi bagi mengesan masalah supaya tidak bertambah kronik.
"Tidak dinafikan, ada guru suka menyentuh pelajar dan ini memang salah. Guru ini sebenarnya mungkin mengalami masalah emosi namun tidak mampu dikesan dengan mata kasar dan tekanan itu diterjemahkan dengan perlakuan.
"Guru berkenaan tidak rasa bersalah namun pelajar pula menjadi mangsa. Jika ini berlaku, pihak sekolah perlu mengambil tindakan tertentu supaya keadaan tidak bertambah melarat.
"Namun sebaiknya, biarlah hanya mereka yang terbabit saja mengetahui perkara ini supaya tidak memalukan mana - mana pihak. Yang dikesali apabila guru bermasalah, ia seperti diheboh-hebohkan hingga menjadi isu nasional sekali gus menyukarkan usaha sekolah menanganinya," katanya.
Ditanya mengenai kaedah terbaik, beliau berkata sama ada guru, pelajar mahupun sekolah perlu menjadi erat dan saling menyayangi selain semua pihak perlu merendahkan ego masing -masing.
Menurutnya, pertikaian yang berlaku hari ini disebabkan tiadanya elemen positif seperti kasih sayang, menghormati dan menghargai di kalangan warga sekolah hingga mencetuskan situasi 'hanya kau-aku'.
"Apabila elemen positif tidak dimasukkan dalam perhubungan, sudah tentu mereka semakin renggang. Guru hanya menjalankan tanggungjawabnya mengajar, pelajar pula menerima sementara sekolah asyik berkira mengenai pencapaian kecemerlangan hingga terlupa keperluan kasih sayang.
"Ini menjadikan setiap golongan hanya tertumpu pada komuniti tertentu saja sedangkan sekolah boleh diibaratkan sebagai keluarga besar yang boleh berkongsi susah senang. Jalinan kemesraan dan kasih sayang perlu disemai mengikut batas ditetapkan," katanya.
"Pelajar juga perlu tahu status dan pandai menjaga diri. Jika betul guru bersalah dan perlu diambil tindakan, lakukanlah mengikut pertimbangan akal bukan emosi semata-mata. Semua pihak ada hak yang perlu dipertahankan," katanya.
di petik dari http://www.hmetro.com.my/articles/Usahcepatbuatandaian/Article.
No comments:
Post a Comment