Resolusi perhimpunan MCA minggu lepas terus mendesak kerajaan mengarusperdanakan pendidikan vernakular setanding pendidikan kebangsaan. Antara desakan mereka, kerajaan mesti membantu pembangunan lebih 78 peratus sekolah Cina sedia ada melalui peruntukan khas. Lembaga pentadbir sekolah Cina mesti dirujuk, terutama berkaitan penempatan guru besar (pengetua), penolong kanan dan guru bahasa Melayu. Mereka mesti berlatar belakangkan Cina dan boleh berbahasa Cina dengan baik. Masa pembelajaran dan pengajaran bahasa Cina mesti dikekalkan minimum lima period seminggu. Tiap-tiap tahun inilah desakan mereka. Soal untuk memandaikan anak Cina yang lemah dalam komunikasi dan gagal dalam penulisan bahasa kebangsaan langsung tidak disentuh. Penting bagi mereka, anak Cina mesti pandai dalam bahasa Cina. Sekolah Cina mesti mendapat bantuan lebih dari sebelumnya, penguasaan bahasa Cina mesti diutamakan. Sebelum ini Perdana Menteri bermurah hati bersetuju menyalurkan kutipan cukai arak dan judi kepada sekolah Cina. Mengecualikan cukai terhadap mereka yang memberi sumbangan kepada tabung pembangunan sekolah Cina dan banyak lagi. Pendek kata, sekolah Cina hari ini mendapat perhatian begitu tinggi daripada pelbagai pihak. Kerajaan terpaksa tunduk demi mendapatkan undi. Undi pun belum tentu diberikan kerana undi adalah rahsia. Buatlah perbandingan antara sekolah kerajaan dengan sekolah vernakular. Mana lebih baik. Kalau tidak percaya pergilah ke salah sebuah sekolah di kampung saya, SK Sungai Ranggam, Kota Setia, Teluk Intan, lihatlah betapa daifnya sekolah ini. Guru besar sekolah tersebut meminta saya memberitahu kementerian supaya membantu sekolah itu. Terfikir juga saya, apa yang dibuat oleh wakil rakyat di sana. Saya memohon dan menasihatkan kerajaan, jika mahu terus mengarusperdanakan sekolah vernakular setanding sekolah kebangsaan, beberapa perkara berikut perlu diberikan perhatian. Pertama, kerajaan tidak perlu tunduk pada desakan atau keputusan lembaga pentadbir sekolah Cina. Kedua, pentadbiran sekolah Cina hendaklah ditentukan pihak kerajaan, bukannya pentadbir sekolah Cina. Ketiga, sebahagian besar tanah sekolah Cina hendaklah diserahkan kepada kerajaan. Keempat, bahasa Melayu hendaklah diajar melebihi period minimum bahasa Cina. Jika mereka tidak mahu melakukannya, adalah tidak wajar kerajaan tunduk kepada desakan untuk menyamakan taraf sekolah vernakular dengan sekolah kebangsaan. Kita amat serius dengan bahasa ibunda, tetapi tidak kepada agenda negara. Saya tidak nafikan ramai juga orang Melayu menghantar anak-anak ke sekolah vernakular. Tetapi situasinya berbeza. Melayu dapat menguasai bahasa dan budaya Cina. Manakala Cina tetap dengan kecinaannya (keindiaan). Inilah dilema pendidikan negara yang kita hadapi sekian lama. Tidak salah memandaikan anak kita dengan bahasa ibunda. Tetapi apakah langkah yang dibuat untuk memandaikan anak kita dengan bahasa negara? Pihak ultra kiasu terus mendakwa sekolah vernakular adalah satu kekuatan. Tetapi pernahkah kajian dibuat untuk melihat kesan sekolah vernakular ke atas pembangunan negara bangsa dan integrasi nasional. Selaku ahli akademik, saya pernah memohon grant untuk melakukan kajian seperti ini tetapi ditolak mentah-mentah atas alasan sensitif. Jawatan kuasa penilai terdiri kalangan bebal dan pandir. Saya amat hairan, perkara sebesar ini melibat masa depan negara dikatakan tidak penting. Saya memohon kepada kerajaan supaya memberikan kami grant untuk membuat kajian ini secara menyeluruh. Sepatutnya orang Cina berlapang dada menerima pandangan pihak berautoriti bukannya defensif. Kita harus berasa bertuah kerana dapat mengekalkan pendidikan ibunda di sini. Di negara lain, seperti Indonesia dan Thailand, bukan sahaja pendidikan vernakular diharamkan, hubungan dengan negara asal diputuskan sama sekali. Kelonggaran hanya diberikan pada tahun-tahun 1990an. Tidak seperti kita, tidak pernah melarang sama sekali. Rakyat Malaysia sepatutnya fasih berbahasa kebangsaan. Tidak timbul soal ada yang langsung tidak dapat bertutur dan memahami bangsa kebangsaan. Ingatlah, titik permulaan dalam pembentukan Bangsa Malaysia tersebut terletak pada sistem pembelajaran negara kita. Janganlah kerana mahukan undi kita terpaksa melukut di tepi gantang. Akhirnya nanti, siapakah yang akan menerima akibatnya? |
10/10/2011 7:58:50 AM
No comments:
Post a Comment